Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia atau ringkasnya ADTEC JTM Kampus Kuantan dahulunya dikenali sebagai Institut Latihan Perindustrian Kuantan (ILP) terletak di Kawasan Perindustrian Gebeng, 25km dari pusat bandar Kuantan. ADTEC JTM Kampus Kuantan merupakan sebuah agensi latihan di bawah pengelolaan Jabatan Tenaga Manusia (JTM). Kampus ini telah dirasmikan oleh Tengku Mahkota Pahang, Yang Amat Mulia Tengku Abdullah Ibni Sultan Ahmad Shah pada 30 Oktober 1989.
Penubuhan ADTEC JTM Kampus Kuantan adalah bertujuan memberi latihan teknikal secara formal kepada belia lepasan sekolah dan pekerja industri sekitar kawasan Pantai Timur bagi membekalkan tenaga mahir kepada sektor perindustrian negara. ADTEC JTM Kampus Kuantan menyediakan 12 kursus diperingkat sijil dan diploma. Kesemua silibus pengajian bagi kursus-kursus di ADTEC JTM Kampus Kuantan diiktiraf dan dipantau oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan juga Jabatan Tenaga Manusia (JTM) bagi memastikan perlaksanaan kursus mencapai piawaian dan kualiti yang telah ditetapkan.